Tempat Menarik di Taiping
April 10, 2026
Image via perak.gov.my
Terletak di utara Perak, Taiping bukanlah sekadar sebuah bandar biasa. Ia merupakan bandar warisan yang kaya dengan gabungan unik:
- Alam semula jadi yang menghijau.
- Bangunan kolonial yang masih terpelihara.
- Makanan tempatan yang lazat dan sukar dilupakan.
Dengan tarikan sebegini, tidak hairanlah tempat-tempat menarik di Taiping sentiasa menjadi sebutan dan pilihan utama pelancong di Malaysia.
Menerokai Keindahan dan Tarikan Taiping
Dikenali sebagai "Bandar Hujan," Taiping menyimpan beberapa keunikan yang menjadikannya sebuah destinasi yang istimewa:
- Suhu dan Landskap: Bandar ini menerima taburan hujan tahunan sekitar 4,000mm, hampir dua kali ganda purata di Semenanjung Malaysia. Hujan inilah yang menyuburkan landskapnya, termasuk pokok-pokok hujan ikonik berusia ratusan tahun yang meneduhkan Taman Tasik Taiping.
- Sejarah dan Warisan: Taiping memegang status penting dalam sejarah negara sebagai perintis kepada banyak perkara. Ia merupakan lokasi terbinanya taman awam, zoo, stesen kereta api, dan muzium pertama di Malaysia. Malah, pada tahun 2019, bandar ini diiktiraf sebagai bandar ketiga paling lestari di dunia.
- Suasana Nostalgia: Sebaik sahaja anda tiba, anda akan merasai sendiri suasana nostalgia bandar ini. Deretan bangunan kolonial lama dan jalan-jalan yang luas seakan-akan menggamit anda untuk menerokainya dengan hanya berjalan kaki. Suasana inilah yang membuatkan ramai pengunjung berasa tenang dan ingin kembali lagi.
Tempat Makan Menarik di Taiping
Bandar ini mempunyai banyak gerai dan restoran warisan turun-temurun yang sentiasa menjadi pilihan orang tempatan.
Berikut adalah beberapa tempat makan yang wajib anda cuba.
- Ansari Famous Cendol di Jalan Barrack: Sebuah perniagaan keluarga yang kini diuruskan oleh generasi ketiga, terkenal dengan cendol pulut bakar dan pasembornya. Apa yang membuatkannya istimewa ialah kuah santan yang pekat dan gula melaka yang wangi pandan.
- Mi Combat di Pasar Cashier, Jalan Panggung Wayang: Gerai mi goreng mamak yang ikonik ini telah beroperasi sejak tahun 1945. Anda boleh menikmati sepinggan Mee Combat dengan harga sekitar RM4.50 sahaja, yang kini disediakan oleh generasi ketiga keluarga pengasasnya.
- Restoran Yut Sun di Jalan Pasar: Kedai kopi warisan ini masih mengekalkan fasad zaman kolonialnya. Ia terkenal dengan chicken chop dan roti bakar klasik yang membangkitkan nostalgia.
- Kopi Antong di Jalan Kota: Kilang kopi yang ditubuhkan pada tahun 1933 ini membolehkan anda merasai kopi yang dipanggang secara tradisional, segar terus dari mesinnya.
- Popiah Basah Omar di Pasar Taiping: Popiah ini menggunakan resipi turun-temurun dan telah menjadi sarapan kegemaran penduduk tempatan selama berpuluh-puluh tahun.
- Restoran Hajah Soraya di Jalan Assam Kumbang: Untuk pengalaman yang unik, nikmati hidangan Arab seperti kabsa, mandy, dan madghout di dalam sebuah banglo kolonial yang indah.
Kedai dan Restoran pada Waktu Malam
Apabila malam menjelma, Taiping berubah menjadi syurga makanan.
Udara malam dipenuhi dengan aroma sate yang dibakar, kepulan asap char kway teow yang dimasak segar, dan keriuhan kedai teh tarik— memberikan bandar ini tenaga yang meriah.
- Larut Matang Hawker Centre: Dikenali sebagai pusat penjaja paling popular di Taiping, tempat ini menghimpunkan berpuluh-puluh gerai yang menawarkan hidangan Melayu, Cina dan India di bawah satu bumbung. Ia pilihan ideal untuk keluarga atau kumpulan besar yang mempunyai selera berbeza.
- Nafis Kitchen:Selepas seharian berjalan, restoran mamak gred A ini adalah tempat yang sempurna untuk makan malam. Menunya sangat pelbagai, merangkumi masakan Thai, Melayu, dan aneka makanan laut.
- Rongcha Thai Tomyam & Ikan Bakar di Jalan Izzudin Shah: Tempat ini popular di media sosial dan menjadi tumpuan peminat tomyam autentik serta bingsu. Restoran ini dibuka sehingga lewat malam, sesuai untuk mereka yang gemar makan lewat.
- Medan Selera Pokok Assam: Jika anda ingin merasai suasana seperti penduduk tempatan, inilah tempatnya. Kawasan gerai makan ini sentiasa sibuk dan terkenal dengan nasi lemak, roti canai malam, dan minuman panas.
Tempat Menarik di Taiping Waktu Malam
Walaupun Taiping tidak terkenal dengan kelab malam atau hiburan yang hingar-bingar, bandar ini menawarkan pengalaman malam yang unik.
- Taman Tasik Taiping pada waktu malam mempunyai tarikan yang istimewa. Bayangkan lampu-lampu kekuningan yang memantul di permukaan tasik, dihiasi dengan bayang-bayang pokok hujan yang berusia ratusan tahun. Pemandangan ini menjadikannya salah satu lokasi paling romantik di utara Semenanjung.
- Sungai Sepetang pula menyajikan pengalaman melihat ribuan kelip-kelip spesis Pteroptyx tener yang berkelip serentak di sepanjang pokok bakau. Ia adalah satu pengalaman magis yang pasti akan anda ingati lama selepas lawatan anda berakhir.
Pilihan untuk Mengeratkan Hubungan Keluarga
Suasana di Taiping yang tenang dan tarikan yang kebanyakannya sesuai untuk semua peringkat umur menjadikannya pilihan ideal.
- Taman Tasik Taiping: Taman awam pertama di Malaysia ini sudah berusia lebih 130 tahun. Anda boleh menghabiskan masa dengan berjoging, berbasikal, atau mendayung bot kayuh. Jika mahu lebih santai, bentangkan sahaja tikar berkelah di bawah rimbunan pokok hujan sementara anak-anak bermain di taman permainan berdekatan.
- Taman Botani Perak: Taman botani yang luas ini berfungsi sebagai pusat pemuliharaan dan pendidikan. Ia adalah tempat yang bagus untuk mendedahkan anak-anak kepada kepelbagaian flora dan fauna tempatan. Masuk adalah percuma.
- Muzium Perak: Jom lawati muzium tertua di Malaysia yang dibina pada tahun 1883! Muzium ini mempamerkan pelbagai pameran sejarah alam, artifak warisan, dan turut menyediakan ruang interaktif untuk kanak-kanak. Tiket masuknya cuma RM2.
- Bukit Larut (Maxwell Hill): Rasai pengalaman berada di stesen bukit tertua di Malaysia, di mana suhunya boleh mencecah 10°C. Anda boleh berkelah dalam cuaca sejuk atau mendaki bersama ahli keluarga yang lebih cergas. (Pastikan anda menyemak status perkhidmatan jip kerana ia mungkin ditutup untuk penyelenggaraan).
- ATV Adventure Park Larut: Taman ini menawarkan pengalaman menunggang ATV yang mencabar, merentasi denai berbukit, kawasan berlumpur, dan juga anak sungai. Ia adalah aktiviti yang sempurna untuk sesiapa sahaja yang mahu menikmati keindahan alam semula jadi sambil merasai keseronokan pengembaraan.
- Dataran Warisan Taiping: Ruang terbuka di hadapan bangunan Majlis Perbandaran ini sering menjadi tumpuan keluarga. Pada hujung minggu, kawasan ini hidup dengan gerai makanan ringan dan persembahan komuniti.
- Kota Ngah Ibrahim: Lawati kubu bersejarah yang pernah menjadi kediaman Ngah Ibrahim, seorang pembesar berpengaruh di Perak pada abad ke-19. Kini, ia berfungsi sebagai muzium yang mempamerkan artifak perlombongan bijih timah dan kisah perjuangan tempatan — satu lawatan wajib bagi peminat sejarah.
- Masjid Lama Bandar Taiping: Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar, masjid yang dibina pada tahun 1893 ini adalah antara yang tertua di Malaysia. Ia menggabungkan seni bina Islam tradisional dengan sentuhan kolonial, dan mudah dikenali dengan dinding batu bata merahnya. Selain menjadi pusat ibadah, ia juga merupakan sebuah monumen sejarah yang penting.
Aktiviti yang Menyeronokkan untuk Kanak-Kanak
Taiping mempunyai beberapa tarikan terbaik di Malaysia untuk kanak-kanak, menjadikannya destinasi ideal untuk ibu bapa.
- Zoo Taiping & Night Safari: Sebagai zoo pertama di Malaysia, ia menjadi rumah kepada lebih 1,300 haiwan daripada 180 spesies. Zoo ini satu-satunya di negara kita yang menawarkan Night Safari. Anda dan keluarga boleh menaiki trem untuk melihat haiwan nokturnal yang aktif pada waktu malam. Harga tiketnya berpatutan, iaitu RM16 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak.
- 5D Art Paradise Taiping : Galeri seni ilusi ini mempunyai lebih 40 karya interaktif yang pasti membuatkan anak-anak teruja. Ia adalah syurga bergambar dengan latar belakang yang kreatif dan aneh.
- Burmese Pool: Bawa keluarga ke kolam air semula jadi di kaki Bukit Larut ini. Suasana hutannya yang sejuk sangat sesuai untuk mandi-manda dan bersantai.
- Kilang Arang Kuala Sepetang: Kilang ini menawarkan anak-anak pengalaman pembelajaran yang unik. Mereka boleh melihat sendiri proses pembuatan arang tradisional menggunakan kayu bakau. Jangan lupa cuba keledek bakar arang yang lazat!
- Spritzer EcoPark: Taman tema mini ini sesuai untuk si kecil melepaskan tenaga. Terdapat kolam air, padang permainan, dan kawasan hijau yang luas untuk mereka berlari sepuas hati.
Rancang Perjalanan Anda ke Taiping dengan Easybook
Taiping menawarkan gabungan warisan, alam semula jadi, dan tarikan mesra keluarga, menjadikannya destinasi percutian yang ideal.
Dengan Easybook, anda boleh menempah tiket bas ke Taiping.
Kami membolehkan anda membandingkan jadual dan harga daripada pelbagai operator, menempah tiket awal tanpa beratur, dan mendapat pengesahan segera.
Lawati easybook.com untuk menguruskan logistik perjalanan anda dan fokus menikmati percutian anda di bandar warisan ini.
Tempah Sekarang